Sunday, 8 March 2015

Kisah Si Lukman Terhadap Peranan Wanita

Sekreatif mana saya melukis dan menggrafik, saya bukanlah penulis yang kreatif, namun ada perkongsian ringkas yang ingin saya sampaikan berkenaan pentingnya peranan seorang wanita.

Grafik dan ilustrasi oleh saya sendiri. Lawati laman komik saya di sini. Lawati laman grafik saya di sini.

Dengan ini saya mulakan dengan memetik mutiara kata daripada Eleaner Roosevelt:

"A woman is like a tea bag. You can't tell how strong she is until you put her in hot water."

Sudah hampir 22 tahun saya menjalani pengembaraan hidup saya di dunia ini bersama pelbagai jenis manusia yang beraneka ragam dan karenahnya. Ragam dan kerenah mereka inilah hasil daripada  hitam putih masa lalu mereka. Dalam kesuntukan masa saya menulis di sini, saya yakin kita semua faham bahawa ibu kita memainkan peranan yang terbesar bagi membentuk asas terawal dalam kehidupan kita. Maka sempena Hari Wanita Sedunia ini, saya ingin tuliskan kisah tentang peranan seorang insan bernama ibu.
Nama saya Lukman. Saya bukanlah berlatar-belakangkan keluarga Islamik sepertimana sesetengah daripada masyarakat Malaysia yang tercinta ini. Bolehlah dikatakan orang seperti kami tidak mempunyai suasana disiplin untuk menunaikan solat lima waktu setiap masa. Namun semenjak terjebak dengan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti usrah ini, saya mula menyedari kepentingan memelihara amal saya serta berdakwah kepada mereka yang terdekat, terutama sekali ahli keluarga kita.

Setelah berjaya mengekalkan amalan solat lima waktu sehinggalah waktu tertentu, lalu pada suatu petang itu saya mencuba diri untuk berani mendekati ibu saya Puan Salmah yang tengah melayan facebook game di biliknya. Saya bukannya di antara mereka yang tahu bersosial dengan orang lain, apatah lagi memberikan nasihat yang berhikmah. Jadi bolehlah anda bayangkan bahawa saya jenis yang agak antisosial dan kaki komputer. Saya hanya tahu tindakan asas tentang dakwah, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran. Namun tanpa saya sedari, aura 'mencegah kemungkaran' itu yang terlalu mendominasi perasaan saya pada waktu itu hanya sebab sangkaan saya pada Mak Mah yang tengah melayan game dan melengahkan solat Asar beliau. Lalu dialog tersebut terjadi. Bayangkan perasaan marah bercampur nada yang tinggi membelenggu bacaan dialog berikut.

"bla bla bla... tahukah bu? bahawa perkara-perkara di dunia seperti game,... dll ini tergolong dalam perkara yang melalaikan?... surah 23 ayat 2 dan 3 bla bla bla... tak ramai masyarakat kita yang mahu mendisiplinkan solatnya... bla bla bla... Jadi mak fikir-fikirkanlah ya..."

(p/s: minta maaf, saya kesuntukan masa, hanya tuliskan apa yang penting sahaja haha...)

Sehabisnya pesanan saya, saya dengan muka tebal meninggalkan bilik beliau tanpa memberi peluang ibu saya untuk bersuara. Lukman pada masa itu berumur lebih kurang 17 tahun. Sekarang sudah masuk 22 tahun dan ketika difikirkan balik, Ya Allah betapa tak malunya aku meninggikan suara di hadapan ibu tanpa sebarang tapisan berhikmah... Saya takut silap-silap boleh jatuh tahap derhaka jika perkara tersebut dinilai kembali... Lebih kurang 5 minit selepas itu, saya sudah mula keliru untuk membezakan di antara menyampaikan pesanan dakwah serta derhaka di hadapan ibu saya sendiri.

Namun semenjak itu, walaupun saya jarang berada di rumah kerana masih belajar di MRSM (asrama penuh), saya sudah mula memperhatikan perubahan yang beliau tonjolkan dan yang saya dapat rasai. Beliau sentiasa bertanyakan saya tentang hukum-hakam, berkongsikan pengalaman beliau berkenaan perkara-perkara keagamaan, dan sebagainya.

Cerita terus dilanjutkan selangkah saya masuk ke menara gading. Saya turut terkejut ketika dapat tahu beliau mula bertudung-tudung labuh dan mengubah penampilan seperti srikandi begitu. Tahun berikutnya pula saya masih dikejutkan dengan keputusan ibu saya untuk mengerjakan umrah ditemani seorang ustazah! Dan tahun berikutnya lagi saya terus dikejutkan lagi dengan reaksi rakan-rakan sekerja beliau, tanpa mengira Melayu, Cina mahupun India, apatah lagi murid-murid sekolah (kerana ibu saya bekerja sebagai kerani sekolah Cina) yang kebanyakannya sangat positif! Sehinggakan ada di antara mereka yang terdekat dengan beliau mula tertarik untuk mencontohi beliau! Saya hanya boleh ungkapkan Subhanallah (Maha Suci Allah) atas perkembangan ibu saya dalam menjalankan peranan beliau sebagai seorang wanita Islam.

Dalam hal kewangan pula, Lukman pernah kongsikan pada ibu Lukman bagaimana golongan kaya tahu membezakan antara aset dan liabiliti sementara golongan pertengahan serta miskin hanya tahu tertipu antara kedua hal tersebut. Hasil daripada poin itu dan banyak lagi perkongsian yang lain, Mak Mah kini semakin berkembang dengan bisnes kuih makmur serta jubah beliau! Bagaimana? Rakan-rakan terdekatnya tadi ditambah dengan sanak saudara menjadi pelanggan beliau. Saya masih tak sangka. Sungguh tak sangka bahawa seorang wanita seperti ibu saya tahu memanfaatkan nasihat, ilmu serta peluang yang beliau terima untuk dilaksanakan impian beliau dalam memajukan diri beliau serta orang sekeliling beliau!

Saya Lukman. 22 tahun. Saya tidak akan tahu masa depan ibu saya yang penuh ketidakpastian, namun saya yakin dengan sifat lemah lembutnya seorang yang bergelar wanita, serta semangat penuh wajanya seorang yang yang bergelar wanita, ditambah dengan jerih payahnya ujian yang dihadapi oleh seorang yang bergelar wanita, ibu saya itulah menjadi salah satu daripada uncang teh yang akan terus membawa warna perbaikan kepada seluruh cawan masyarakat ini!

Itulah kisah Lukman terhadap wanita yang sangat dia sanjungi iaitu ibunya. Bagaimana dengan anda? Siapakah wanita dalam kisah hidup anda yang paling anda minati dan ingin anda kongsikan? Ringkas atau panjang, mari kongsikan kisah anda pada ruangan komen di bawah! :D

No comments:

Post a Comment